Monday, December 3, 2007

DAUN BERKEMBANG

03 Disember 2007 benih yang berdaun semalam dah kembang daun tiga helai. Cantik sangat....
Benih lain-lain yang saya alihkan di bawah pokok durian tu dah mula kembang daun pagi ni. Saya berdoa semoga benih tu akan terus hidup dan subur hingga dapat berbunga dan berbuah nanti.

TUNAS ANGGUR

02 Disember 2007 satu benih sudah keluar daun dari tunasnya. Daunnya dah kembang 2 helai. Seronok sangat tengok. Benih ni yang saya letak di bawah pokok durian. Bila saya tengok benih yang bawah pokok durian lebih cepat tumbuh dari di tepi rumah cendawan, saya alihkan semua benih ke bawah pokok durian.

Mak mentua datang bersembang dan tengok benih anggur tu. Dia beritahu waktu di Brunei dulu dia pernah pergi rumah sedara yang ada tanam anggur. Dia petik sendiri anggur dan makan. Manis buahnya katanya.

01 Disember 2007 saya hadiri ceramah motivasi Datuk Maznah Hamid dan sempat berbincang dengannya mengenai perancangan usahawan masa depan. Bila saya timbulkan mengenai penanaman anggur, dia tanya boleh hidup ke? saya jawab Thailand dan Indonesia telah berjaya. Kata dia siasat elok-elok sebab di Kedah gagal. Betul ke? Saya kata dalam hati, insyaallah saya berjaya nanti.

Friday, November 30, 2007

KERATAN ANGGUR

29 November 2007 saya berjaya mendapatkan keratan anggur daripada encik Khairil. Saya bersyukur sangat. Setelah menunggu selama enam hari, bungkusan keratan batang anggur itu saya terima pada jam 2.30 petang.
Jam 7.30 malam pada hari yang sama, saya dengan dibantu suami dan anak sulung memulakan penanaman keratan dalam plastik benih. setelah selesai semua, saya lindungkan separuh semaian itu di tepi rumah cendawan. Separuh lagi saya letakkan di bawah pokok durian di belakang rumah.
Jumlah semua semaian itu ialah 42 plastik benih. Daripada 42, lebih kurang 15 keratan telah tumbuh tunas putih yang kecil sewaktu dalam masa penghantaran. Saya harap tunas itu akan terus menjadi. Memang saya takut ia akan kering dan tidak menjadi. Tetapi saya berdoa kepada Allah semoga usaha saya untuk menanam dan menjaga pohon anggur akan terlaksana.
Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada encik Khairil.

ANGGUR

Bermula dari awal bulan Oktober 2006 saya telah menghubungi melor.com untuk mendapatkan benih anggur tetapi difahamkan penghantaran ke Sabah/Labuan tidak boleh dilakukan.
Komitmen kepada kerjaya menyebabkan saya melupakan usaha untuk mendapatkan benih anggur. Namun begitu saya tidak pernah melupakan hasrat untuk mendapatkan benih anggur.
Saya sering membawa sebuah novel penulis terkenal tanahair yang mengisahkan mengenai kejayaan seorang wanita membuka sebuah ladang anggur dengan bantuan sahabat dari Indonesia. Saya selalu membacanya terutama dalam bab yang menyentuh mengenai anggur. Saya menjadikan novel tersebut sebagai pembakar semangat, walaupun ia hanya sebuah novel!
Saya mula mengumpul maklumat mengenai anggur dari internet. Saya mula kenal beberapa laman web mengenai anggur di Malaysia.
Bermula September 2007 saya menghubungi beberapa pembekal benih anggur. Ada diantaranya berjanji akan menghantar benih apabila saya membuat pembayaran melalui bank. Tetapi apabila saya meminta jumlah yang saya perlu bayar termasuk kos penghantaran, mereka tidak menghubungi saya semula. Saya berusaha menghubungi mereka, tetapi tiada jawapan. Termasuklah semasa saya berada di Kuala Lumpur. Kemungkinan besar masaalah ini berlaku kerana saya tidak berhasrat membeli benih anggur dengan jumlah yang banyak. Saya tidak berani membeli dengan jumlah yang banyak kerana baru hendak mencuba menanam anggur tanpa sebarang pengalaman pun.
Pada saya harga yang ditawarkan RM25.00 untuk sepokok benih tidak termasuk kos penghantaran dan saya mahu membeli 5 pokok adalah memadai untuk permulaan. Pada pembekal yang lain saya ditawarkan RM70.00 sepokok yang telah beberapa bulan usianya dan saya bersetuju untuk membelinya tanpa mengetahui kos penghantaran. Tetapi sepokok adalah terlalu membazir masa dan tenaga bagi mereka untuk menghantar kepada saya. Tak apalah, saya faham mereka memang sebok, masa dan tenaga amat berharga.